PEKERJA rumah mayat menyediakan keranda untuk mangsa nahas pesawat AirAsia penerbangan QZ8501.
PEKERJA rumah mayat menyediakan keranda untuk mangsa nahas pesawat AirAsia penerbangan QZ8501.

Surabaya: Pencarian hari keempat pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 semalam menemui tujuh lagi jasad mangsa termasuk seorang wanita berpakaian seragam pramugari.

Jasad pertama ditemui jam 6.06 pagi, diikuti wanita berpakaian seragam pramugari (6.45 pagi) dan lima lagi antara jam 6.56 pagi ke 4.30 petang.

Selain mangsa, peralatan sonar dalam kapal KRI Bung Tomo turut mengesan bangkai pesawat pada kedalaman air 30 meter berdekatan Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

Bangkai pesawat itu bagaimanapun dipercayai berada di dasar Laut Jawa dan sehingga kini tidak dipastikan ia berada dalam keadaan baik ataupun sudah berkecai kepada serpihan kecil.

Sehingga lewat petang semalam, KRI Bung Tomo merekodkan penemuan 28 objek di sekitar Pangkalan Bun.

Antara yang ditemui termasuk beg bekalan bayi berwarna biru, beg merah mengandungi beg tangan coklat, rokok, makanan ringan, dan tisu basah, beg Adidas berisi kasut Nike Air warna hijau, beg merah Reebok berisi kamera, empat kunci, kaca mata dan kasut, beg tidur hijau serta peti pertolongan cemas tertera nama AirAsia.

Turut tersenarai dalam rekod penemuan tiub evakuasi kecemasan, perahu getah simpanan, pintu kecemasan dan tingkap kecemasan.

Pencarian kini diteruskan dengan pelbagai persoalan baru termasuk berkait dengan penemuan satu jasad yang didakwa memakai jaket keselamatan.

Begitupun, Timbalan Ketua Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Tatang Zaenuddin menafikan dakwaan terbabit.

Katanya, BASARNAS ada menemui jasad seorang lelaki yang berada hampir dengan pelampung dan bukannya mengenakan jaket keselamatan.

“Kita temui satu jasad lelaki bersama jaket keselamatan. Kedua-duanya dalam keadaan terpisah, bermakna jasad itu tidak memakai jaket,” tegasnya.

Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan sudah dibawa menaiki kapal perang Indonesia, KRI Bung Tomo termasuk jaket keselamatan milik AirAsia itu.

Sementara itu, Ketua BASARNAS Henry Bambang Soelistyo menjelaskan kawasan pencarian serpihan dan jasad kini dikecilkan kepada empat lokasi berbanding 13 sektor kelmarin selepas pesawat terbabit disahkan terhempas di perairan Teluk Kumai.

“Sebanyak 18 kapal terdiri dari dalam dan luar negara melakukan rondaan di sekitar empat kawasan pencarian. Bagaimanapun, proses memindahkan jasad penumpang berdepan sedikit kesulitan di waktu pagi berikutan keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi di sekitar Pangkalan Bun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:28 AM