Pangkalan Bun: Operasi mencari dan memindahkan mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 diperkukuh pasukan SAR dengan menurunkan 30 daripada 71 penyelam di Selat Karimata, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, pada hari ke-22.

Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) SB Supriyadi berkata, usaha mencari hari ini dilaksanakan 71 penyelam di KRI Banda Aceh.

“Mereka dibahagi kepada tiga kapal termasuk Crest Onyx dan Tiongkok,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Iskandar, Pangkalan Bun.

Jelas Supriyadi, situasi di dasar laut kini masih kurang baik hingga boleh mengancam pasukan penyelam.

“Seramai 30 penyelam sudah diturunkan, namun kita masih gagal mencapai sasaran kerana arus deras di dasar laut yang mencapai lima knot.

“Keadaan ini bukan saja menyukarkan pasukan penyelam malah memaksa mereka naik semula ke permukaan,” katanya.

Situasi itu sekali gus mengekalkan laporan dikeluarkan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Polis Indonesia (DVI POLRI) semalam.

Sehingga lewat malam tadi, DVI POLRI mengenal pasti 45 mayat daripada 51 mayat yang ditemui manakala enam lagi sedang dalam proses pengecaman. - Suara.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 3:36 PM