Pangkalan Bun: Dua mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui penyelam kelmarin tiba ke Pelabuhan Kumai, Kalimantan Tengah di sini, semalam.

Mayat seorang lelaki dan wanita itu tiba dengan Kapal Basarnas RB 214 Pontianak pada jam 10.10 pagi.

Sebaik tiba di pelabuhan, mayat yang disimpan di dalam beg mayat berwarna kuning dibawa dengan ambulans ke Hospital Imanuddin.

Komander Kapal RB 214 Pontianak Jalu Ekono berkata, pihaknya menerima arahan untuk memindahkan dua mayat dari kapal KRI Sibolga ke pelabuhan.

Penemuan mayat terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui setakat ini adalah seramai 53 mangsa.

Sebanyak 51 mayat mangsa sudah dibawa ke Surabaya untuk tujuan pengecaman.

Dua mayat mangsa terbaru itu ditemui pasukan penyelam Tentera Indonesia masih berada di kerusi penumpang dan memakai tali pinggang keledar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:53 AM