BERNAMA

Kuala Lumpur: Lapan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap pertuduhan menculik seorang akauntan wanita awal bulan ini.

Jurujual kereta Mohamad Faiezal Ibrahim, 39, kontraktor Romzi Zakaria, 42, jurukimpal Radzuan Latif, 46, mekanik Mohd Azman Yacob, 53, jurukimpal Mohamad Azhar Ab Halim, 33, peniaga Darryl Haqimi Tan, 42, pengurus jualan Yeoh Eng Lee, 39, dan Ahmad Ibrahim Omar, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mereka yang tidak diwakili peguam dituduh menculik dengan niat hendak mengurung wanita berumur 25 tahun itu dengan sulit dan salah di Setapak Sentral, Wangsa Maju di sini, pada 10.20 pagi, 9 Januari 2017.

Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat mereka dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 9:23 PM