TERTUDUH, Siti Nur Amirah Abdullah Amiran, 25, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran janin lelaki berusia enam bulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Nurul Fhatihah Zakinan

JURUJUAL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran janin lelaki berusia enam bulan dengan menanamnya di tepi rumah, bulan lalu.

Siti Nur Amirah Abdullah Amiran, 25, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyembunyikan kelahiran janin lelaki berusia enam bulan dengan menanamnya di tepi rumah di Kampung Padang, kira-kira 4 petang, pada 19 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan bekerja sebagai jurujual dan menanggung empat anak kecil, selain suaminya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 2:45 PM