FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Audrey Dermawan


JURUJUAL dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas tuduhan membunuh pemilik kedai alat ganti motosikal, minggu lalu.

Tertuduh, Hiew Kean Aun, 45, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang bertindak sebagai Majistret.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Hiew didakwa membunuh Leow Choong Leong, 41, di hadapan kedai serbaneka di Jalan Impian Ria Alma, Bukit Mertajam pada 10.38 malam, 2 Mac 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam Y Anbananthan.

Terdahulu Mohammad Nazri tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebut semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 April bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia dipercayai dilanggar sebuah pacuan empat roda selain mempunyai kesan tikaman pada badan dalam kejadian pada 2 Mac lalu.

Berita berkaitan

Maut ditikam, digilis MPV

Lelaki direman 7 hari kes tikam, gilis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 11:10 AM