ASHAARI diiringi polis selepas selesai didakwa di mahkamah atas cubaan membunuh, amang seksual dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada 26 Mei lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad
ASHAARI diiringi polis selepas selesai didakwa di mahkamah atas cubaan membunuh, amang seksual dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada 26 Mei lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku bersalah di mahkamah berasingan, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan jenayah terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada 26 Mei lalu.

Tertuduh Ashaari Othman,71, mengaku bersalah atas cubaan membunuh dan amang seksual ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, selain turut mengaku bersalah atas pertuduhan menculik mangsa terbabit di Mahkamh Majistret.

Warga emas itu membuat kesemua pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah dan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas mangsa dengan cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (sm).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan semak bersebelahan bengkel membaiki kereta tidak bernombor di Kampung Permatang Keriang, Penaga, di sini, pada 26 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu kira-kira 5 petang sehingga 8 malam di Eco Park Pantai Robina, Teluk Ayer Tawar, di sini, pada hari sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulhazmi kemudian menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ashaari mengaku bersalah atas pertuduhan menculik mangsa sama kira-kira 1 tengah hari di Taman Kuala Muda, Penaga pada 26 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma' 'Amira Shahidani.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan bimbang lelaki berkenaan akan menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak itu kerana mangsa adalah jiran tertuduh.

Rosnee pula menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mangsa hilang selepas keluar bermain berhampiran kediamannya sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya kira-kira 2.4 kilometer (km) dari lokasi rumahnya.

Susulan itu, polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah ke atas kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 5:02 PM