BERNAMA

JURUJUAL warga Indonesia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan polis trafik yang sedang bertugas, bulan lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Nasir Saalun, 28, selepas dia mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan 22 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhd Farez Hilmi ketika mangsa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam yang sah di Persiaran Pandan Jaya (1), Pandan Indah, Hulu Langat jam 10.30 pagi, 22 Januari lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal kerana tertuduh sengaja bertindak demikian untuk mengelak daripada ditahan oleh mangsa yang sedang menjalankan tugas.

Bagaimanapun, Nasir yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung keluarga termasuk ibunya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang menjalankan sekatan jalan raya.

Mangsa mengarahkan tertuduh memberhentikan motosikalnya untuk pemeriksaan namun tertuduh enggan dan terus memecut lalu melanggar mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan termasuk di pahanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:54 PM