Jurutera kanan awam ditahan SPRM kerana disyaki menyalahguna kuasa serta meminta rasuah daripada beberapa kontraktor.
Jurutera kanan awam ditahan SPRM kerana disyaki menyalahguna kuasa serta meminta rasuah daripada beberapa kontraktor.
Aizat Sharif


Alor Setar: Seorang penolong jurutera kanan awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa serta meminta rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai dorongan memastikan mereka berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik, Kedah.

Sumber berkata suspek berusia 56 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Daun, Alor Setar sekitar jam 11.30 pagi tadi.

“ €œSuspek dipercayai menerima wang rasuah daripada kontraktor berkenaan membabitkan lebih 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan sejak 2012.

“ Kita sedang menyiasat jumlah wang suapan yang sudah diterima oleh suspek dan percaya suspek menerima wang suapan berkenaan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu,”€ katanya.

SPRM kini dalam siasatan mengumpul maklumat daripada kontraktor dipercayai sudah dipaksa memberi wang suapan kepada suspek sekiranya ingin mendapat tawaran kerja daripada suspek.

Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata pihaknya akan menyiasat sekiranya terdapat individu lain yang turut terbabit dalam perbuatan itu.

Beliau turut meminta pegawai atasan dari peringkat pusat membuat pemantauan dari semasa ke semasa di daerah kecil di negeri itu bagi mengelakkan timbul isu salah guna kuasa oleh pegawai.

Suspek dijangka akan direman di Mahkamah Alor Setar esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 6:58 PM