SUSPEK (kiri) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
SUSPEK (kiri) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Selepas penahanan lima individu termasuk bekas Yang Dipertua dan Pegawai Daerah (DO), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang setiausaha agensi kerajaan negeri Selangor.

Suspek berusia 42 tahun direman selama lima hari selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Lelaki itu bagi membantu siasatan kes membolot projek bernilai jutaan ringgit di negeri itu ketika menjawat jawatan Timbalan YDP.

Menurut sumber, lelaki itu ditahan malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Suspek dipercayai menerima pelbagai jenis suapan daripada kontraktor seperti pembiayaan kos pengubahsuaian rumah bernilai kira-kira RM18,000, wang tunai anggaran RM38,000 serta deposit kereta mewah sebanyak RM75,000.

"Selain itu, suspek dikatakan turut menerima bayaran bulanan RM3,000 sejak 2018 sehingga kini serta bayaran pembelian televisyen dan jam mewah.

"Bayaran itu sebagai balasan untuk membantu syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan, lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di sekitar Selangor," katanya.

Sumber berkata, kontraktor itu dikatakan diarah oleh bekas YDP yang ditahan SPRM sebelum ini menerima rasuah dalam bentuk wang deposit dan diskaun keseluruhan kira-kira RM500,000 bagi membeli sebuah rumah dua tingkat bernilai RM1 juta dari sebuah syarikat pemaju terkenal.

"Suspek dipercayai menerima diskaun dan wang deposit bagi pembelian rumah berkenaan atas nama kontraktor terbabit," katanya.

Katanya, perbuatan itu sebagai balasan kepadanya yang meluluskan Kebenaran Merancang bagi projek yang dibangunkan oleh syarikat pemaju terkenal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:37 PM