SUSPEK diiringi pegawai SPRM   di   Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam.
SUSPEK diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam.

Alor Setar: Tempoh reman penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah yang ditahan bersabit kes rasuah, minggu lalu dilanjutkan enam hari lagi bermula semalam.

Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman lelaki berusia 56 tahun itu bagi melengkapkan siasatan.

Suspek sebelum ini direman tujuh hari bermula 18 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 10 pagi diiringi pegawai SPRM.

Peguamnya, Muhammad Arif Shaharuddin yang baru dilantik turut hadir dan memaklumkan anak guamnya itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM Kedah merampas wang tunai RM1.1 juta dari rumah Penolong Jurutera Kanan JKR Kedah, jam 3 petang, 19 Januari lalu.

Wang terbabit ditemui tersorok di dalam dinding bilik tidur utama kediaman suspek di Kampung Sungai Daun, Guar Cempedak.

Suspek ditahan di rumahnya sehari sebelum itu selepas dipercayai menerima rasuah daripada kontraktor membabitkan 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di Sik sejak 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 5:47 AM