Pasangan ini berkenalan lima tahun lalu. FOTO EPA
Pasangan ini berkenalan lima tahun lalu. FOTO EPA
Agensi

Seoul: Ikon pop Korea Selatan, Rain mengumumkan akan berkahwin dengan aktres Kim Tae-Hee dalam surat bertulis tangan yang ditujukan kepada peminatnya hari ini.

Bagaimanapun, selebriti itu berkata, majlis perkahwinan mereka tidak akan diadakan secara besar-besaran atas alasan keadaan kelembapan ekonomi dan masalah politik yang melanda negara itu ketika ini.

“Saya akan menjadi suami yang baik dan lelaki yang akan mengetuai sebuah keluarga,” kata pemuzik dan pelakon berusia 34 tahun itu, dalam surat yang dimuat naik di dalam Instagramnya.

Dalam tulisannya itu, Rain berkata, Kim, pelakon yang dua tahun lebih tua daripadanya, sentiasa berada di sisinya, memberi sokongan kepadanya ketika waktu sukar dan senang.

Seperti Rain, Kim juga mempunyai ramai peminat di Asia.

Pasangan selebriti itu mula berkenalan ketika mereka merakam iklan televisyen pada 2011 sebelum berpacaran setahun kemudian.

Rain yang nama sebenarnya Jung Ji-Hoon adalah antara nama besar dalam dunia K-pop yang bukan sahaja mempunyai peminat di Korea Selatan, tetapi juga di seluruh Asia dan bahagian lain dunia.

Selain menyanyi, Rain juga berlakon dalam beberapa drama televisyen dan filem aksi Hollywood, termasuk ‘Ninja Assassin’ dan ‘Speed Racer.’

“Mengenai tarikh dan majlis perkahwinan, kami merancang tidak mengadakannya secara besar-besaran memandangkan keadaan yang tidak berapa stabil serta kelembapan ekonomi di negara ini ketika ini,” katanya.

Pasangan itu dijangka berkahwin di sebuah gereja Katolik di Seoul Khamis ini dengan dihadiri anggota keluarga masing-masing.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan, Kim ialah penganut Katolik yang taat pada ajaran agama itu.

Rain pernah dikurung di berek tentera selama seminggu pada Januari 2013 kerana menyelinap keluar untuk menemui Kim ketika dia menjalani perkhidmatan kerahan tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 6:44 PM