Bintang Korea Selatan, Rain.
Bintang Korea Selatan, Rain.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penghibur terkenal Korea Selatan, Rain, 41, bakal memeriahkan dan menjadi artis jemputan utama Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 di Kuching, Sarawak pada 2 hingga 4 Ogos nanti.

Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon dipilih kerana dia sememangnya menjadi ikon fenomena K-Pop serta bintang filem cukup disegani baik di negaranya mahupun di peringkat global.

"Selepas penilaian teliti, keputusan pengurusan AIFFA menjemput Rain sebagai tetamu khas berdasarkan bakat fenomenanya dalam industri kreatif dan seni saya persembahan.

"Bakat luar biasanya merangkumi bidang muzik dan filem selaku penyanyi, penulis lagu, pelakon, serta penerbit muzik. Dia sudah terbabit banyak filem di Korea Selatan dan Hollywood," demikian kenyataan rasmi AIFFA.

Rain bakal mengadakan sesi bertemu peminat pada 4 Ogos, jam 3.30 petang, bertempat di Old Courthouse Gardens, Kuching. Dia juga bakal hadir ke malam gala AIFFA.

Pengumuman kehadiran Rain itu dibuat Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Amzah.

Terdahulu, Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh, dan Henry Golding antara yang pernah hadir memeriahkan festival anugerah terbabit.

AIFFA terus mendapat kepercayaan penggiat filem rantau ini walaupun kali terakhir diadakan pada 2019. Sebanyak 121 filem Asean akan dipertandingkan untuk 12 kategori pada malam gala nanti.

Pelbagai aktiviti termasuk panel pakar dari luar negara terbabit bual bicara mengenai perniagaan filem, penulisan skrip, wanita dalam industri kreatif, dan lain-lain, akan diadakan. Ia diadakan secara terbuka dan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 10:05 AM