ORANG ramai duduk berhampiran skrin yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP.
ORANG ramai duduk berhampiran skrin yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP.
BERNAMA

Honolulu: Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat bersetuju untuk mengambil tindakan tegas terhadap ujian senjata nuklear baharu oleh Korea Utara, kata penasihat keselamatan tertinggi Korea Selatan pada Khamis.

Kim Sung Han membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan tiga hala dengan rakan sejawatannya dari AS dan Jepun, Jake Sullivan dan Takeo Akiba, di Honolulu, lapor agensi berita Yonhap.

"Kami bersetuju bahawa tidak boleh ada pemikiran atau reaksi naif bahawa Korea Utara menjalankan enam ujian nuklear dan (ujian baharu) hanya akan menjadi satu lagi ujian nuklear," kata Kim kepada pemberita.

"Sekiranya Korea Utara menjalankan ujian senjata nuklear ketujuhnya, reaksi kami pasti berbeza," tambahnya.

Pegawai di Seoul dan Washington sebelum ini berkata Korea Utara nampaknya sudah melakukan "semua persediaan" untuk ujian nuklearnya dan ia mungkin hanya menanti masa.

Pyongyang menjalankan ujian nuklear keenam dan terakhir pada September 2017.

Kim enggan mengulas mengenai sebarang langkah khusus yang mungkin diambil oleh ketiga-tiga negara terhadap Korea Utara tetapi berkata ia akan menyedarkan Pyongyang bahawa tindakan melancarkan ujian senjata nuklear ketujuh adalah "keputusan yang salah."

Rumah Putih turut memaklumkan, penasihat keselamatan negara AS mengesahkan semula komitmen AS terhadap pertahanan Korea Selatan dan Jepun.

"Mereka membincangkan komitmen bersama terhadap keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan serta mengutuk pembangunan berterusan program peluru berpandu balistik dan senjata pemusnah besar-besaran oleh Korea Utara dan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine," katanya mengenai mesyuarat tiga hala itu dalam kenyataan akhbar.

Pertemuan tiga hala antara penasihat keselamatan negara tertinggi Korea Selatan, Jepun dan AS yang pertama seumpamanya dalam tempoh 16 bulan, serta yang pertama sejak Kim mengambil alih jawatan pada awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 3:41 PM