Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi. - FOTO EPA
Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi. - FOTO EPA
AFP

Seoul: Selepas lawatan berprofil tingginya ke Taiwan, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi hari ini berada di Korea Selatan, dengan antara agendanya termasuk melawat sempadan negara itu dengan Korea Utara.

Pelosi yang tiba di Seoul semalam, akan melawat Zon Bebas Tentera (DMZ) yang dikawal ketat, di mana tentera Korea Utara dan Korea Selatan berdepan secara bersemuka.

Beliau akan menjadi pegawai AS berkedudukan tertinggi yang melawat Panmujom, sejak bekas Presiden AS, Donald Trump bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un di sama pada 2019.

Pelosi mengingkari beberapa amaran China dengan melawat Taiwan, yang dituntut Beijing sebagai sebahagian wilayahnya, menganggap lawatan Pelosi sebagai provokasi besar.

Sejak itu, China mengumumkan latihan ketenteraan besar-besaran berhampiran Taiwan. China juga adalah sekutu utama dan rakan dagangan Korea Utara.

Semalam, Pyongyang mengulangi kritikan Beijing terhadap lawatan Pelosi ke Taiwan, dan menyifatkannya sebagai 'campur tangan biadab' dalam hal ehwal dalaman China, serta menyalahkan Washington kerana meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Korea Selatan adalah hentian keempat dalam lawatan Pelosi ke Asia, selepas Singapura, Malaysia dan Taiwan.

Di Seoul, Pelosi bertemu Speaker Dewan Nasional Korea Selatan, Kim Jin-pyo dan beberapa anggota kanan Parlimen untuk membincangkan beberapa topik termasuk keselamatan serantau dan kerjasama ekonomi.

Beliau turut dijadualkan bercakap menerusi telefon dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, yang sedang bercuti minggu ini.

Suk-yeol yang mula memegang jawatan itu pada Mei lalu, berikrar untuk memperkukuh hubungan dengan AS, termasuk meningkatkan latihan ketenteraan bersama, yang sentiasa mencetus kemarahan Korea Utara.

Pelosi dijadual berlepas ke Jepun lewat hari ini dalam lawatan terakhirnya di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:37 PM