GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

London: Jawatankuasa santifik pemerhati program vaksinasi di Britain mencadangkan mereka berusia bawah 40 tahun ditawarkan vaksin alternatif selain suntikan dihasilkan Oxford-AstraZeneca.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) berkata, ia mengambil 'langkah berjaga-jaga' untuk orang dewasa berusia 30 hingga 39 tahun, selepas penilaian risiko berlakunya darah beku.

Ahli jawatankuasa JCVI, Professor Wei Shen Lim berkata, mereka berusia antara 30 dan 39 'boleh ditawarkan pilihan lain selain vaksin AstraZeneca'.

Namun, ia hanya boleh dilakukan sekiranya ada pilihan lain dan tidak menyebabkan kelewatan dalam program vaksinasi atau selagi United Kingdom (UK) dapat mengawal penularan jangkitan.

Lim berkata, tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan keyakinan terhadap vaksin kerana golongan berusia kurang 40 tahun akan menerima suntikan tidak lama lagi.

UK yang memulakan program vaksinasi besar-besaran Disember tahun lalu menggunakan suntikan Pfizer-BioNTech masih berada di landasan tepat untuk memberikan semua individu dewasa sekurang-kurangnya satu dos menjelang akhir Julai ini.

Katanya, kejayaan pemberian vaksin bermakna gelombang jangkitan pada masa depan mungkin lebih kecil daripada jangkaan.

June Raine, yang mengetuai Badan Pengawalseliaan Produk Ubat dan Kesihatan di UK, mengatakan bahawa ia tidak mengubah nasihatnya mengenai vaksin AstraZeneca kerana kesan sampingannya "sangat jarang berlaku".

Dari lebih daripada 28 juta dos pertama vaksin yang diberikan di UK sehingga 28 April lalu, terdapat 242 kes darah beku yang digabungkan dengan tahap platelet darah rendah, atau 10.5 per juta, katanya.

Ia berlaku kepada 141 wanita dan 100 lelaki berusia 18 hingga 93 tahun, dan kadar kematian kes adalah 20 peratus, dengan 49 kematian.

Enam kes dilaporkan selepas dos kedua vaksin.

Raine berkata, ia bermakna manfaat vaksin AstraZeneca masih melebihi risiko bagi sebilangan besar individu.

Bagi orang muda, nisbah ini "lebih seimbang sepenuhnya," katanya.

Hampir 128,000 orang mati akibat virus berkenaan di UK, angka tertinggi di Eropah.

UK kini telah memberikan hampir 35 juta dos pertama vaksin dan lebih daripada 16 juta dos kedua.

Jurucakap kerajaan mengatakan akan mengikuti nasihat itu, sambil menambah: "Vaksin Oxford-AstraZeneca selamat, berkesan dan telah menyelamatkan ribuan nyawa di UK dan di seluruh dunia.

"Lebih daripada 50 juta vaksin secara keseluruhan telah diberikan, dan bekalan vaksin serta kadar jangkitan ketika ini bermaksud kita dapat mengambil langkah berjaga-jaga ini dan tetap berada di landasan yang betul dalam mencapai sasaran kita untuk menawarkan vaksin kepada semua orang dewasa menjelang akhir Julai."

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 9:27 PM