GAMBAR yang diedarkan agensi berita Korea Utara menunjukkan Kim Jong-Un menyelia ujian tembakan peluru berpandu Pukguksong-2 kelmarin.
GAMBAR yang diedarkan agensi berita Korea Utara menunjukkan Kim Jong-Un menyelia ujian tembakan peluru berpandu Pukguksong-2 kelmarin.
Agensi

Seoul: Korea Utara semalam berkata, ia berjaya menguji peluru berpandu jarak sederhananya yang memenuhi semua keperluan teknikal dan kini boleh dikeluarkan secara besar-besaran, menggambarkan kemajuan dalam impiannya untuk mampu menyerang Amerika Syarikat.

Negara itu kelmarin menguji peluru berpandunya yang kedua dalam masa seminggu, sekali gus memusnahkan harapan kerajaan baru Korea Selatan di bawah pimpinan Presiden Moon Ja-In untuk berdamai.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dikatakan menyelia ujian Pukguksong-2 itu sendiri.

Agensi berita rasmi negara itu, KCNA memetik Kim sebagai berkata, peluru berpandu berkenaan memenuhi semua spesifikasi teknikal yang diperlukan dan kini boleh dikeluarkan secara besar-besaran serta digunakan oleh unit tempur strategik Tentera Rakyat Korea.

Ujian kelmarin dilakukan tanpa mempedulikan gesaan, termasuk dari China, supaya dia menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya.

Pyongyang berkata, ia memerlukan senjata berkenaan untuk mempertahankan diri daripada serangan Amerika Syarikat.

“Kim meluluskan sistem senjata itu digunakan selepas dengan bangga berkata, kadar sasaran peluru berpandu itu amat tepat dan menyatakan Pukguksong-2 adalah senjata strategik yang berjaya,” lapor KCNA.

Tentera Korea Selatan yang mengawasi ujian itu berkata, peluru berpandu berkenaan terbang sejauh 500 kilometer dan mencapai ketinggian 560 kilometer.

Korea Utara sejak sekian lama berusaha membangunkan peluru berpandu yang boleh membawa peledak nuklear serta menjejaki tanah besar Amerika Syarikat.

Sabtu lalu, ia mendakwa sudah mampu berbuat demikian walapun pakar peluru berpandu Barat berkata, dakwaan itu sengaja dibesar-besarkan.

Korea Utara sering mengancam Amerika Syarikat yang dituduhnya merancang menakluk negara itu.

Terdapat 28,500 tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan bagi membantu menangani ancaman Korea Utara.

Korea Selatan dan Utara secara teknikalnya masih berperang kerana peperangan antara mereka pada 1950-1953 tidak berakhir dengan perjanjian damai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 1:48 PM