WAN Mohd Azraimie Wan Mohd Mohayidin, 42,  (berkerusi roda) bersama isteri dan anak-anaknya  ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Kitang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
WAN Mohd Azraimie Wan Mohd Mohayidin, 42, (berkerusi roda) bersama isteri dan anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Kitang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Muhamaad Razis Ismail


KELUARGA di Kampung Teluk Kitang, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, kini hilang tempat bergantung berikutan ketua keluarga mereka lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Situasi itu menyebabkan, Wan Mohd Azraimie Wan Mohd Mohayidin, 42, hilang upaya untuk bekerja sebagai bomba bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh.

Kini, isterinya, Zurina Dollah, 42, terpaksa mengambil alih tugas untuk menyara keluarga termasuk lapan anak berusia dua hingga 15 tahun.

Menceritakan kembali tragedi yang menimpa dirinya, Wan Mohd Azraimie berkata, ketika sedang melintas jalan, tiba-tiba datang kereta melanggarnya sehingga tercampak lebih 50 meter di atas jalan raya.

“Kejadian itu mengakibatkan saya koma selama empat hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Alhamdulillah umur saya masih panjang.

“Bagaimanapun, akibat kemalangan itu saya tidak dapat berjalan dan segala keperluan diri diuruskan oleh isteri,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Permotoran Negeri Kelantan yang prihatin dengan nasib menimpa keluarga ini, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, Timbalan Presidennya Wan Azley Wan Mohamed turut menghulurkan sumbangan berupa keperluan asas.

Menurutnya, kini tanggungjawab menyara keluarga diambil alih oleh isteri dengan berniaga pisang secara kecil-kecilan.

“Kami juga berharap bantuan wang pemberian individu untuk meringankan beban keluarga.

“Saya kini buntu memikirkan persiapan persekolahan tujuh anak pada tahun depan dan sangat berharap dapat bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan di akaun bank Simpanan Nasional 0301041000217513 atas nama Wan Mohd Azraimie Wan Mohd Mohayidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 4:39 PM