GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


PASUKAN Bomba mengambil masa kira-kira enam jam untuk mengawal dan memadamkan kebakaran di tempat penyimpanan tandang sawit di kilang sarung tangan, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, 30 peratus kawasan itu musnah akibat dijilat api.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam sebelum mereka bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, 24 pegawai dan anggota dengan bantuan BBP Kota Bharu serta 31 pegawai bomba sukarela bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan operasi pemadaman terus dijalankan. Terdahulu, kami perlu menggali timbunan tandang sawit setinggi 10 meter berikutan api bermula di bahagian bawah.

“Kami berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kilang yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Operasi tamat sepenuhnya kira-kira 4.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 11:03 AM