Hayati Ibrahim


Putrajaya: Malaysia akan menghadiri sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN Mengenai Rohingya di Yangon, Myanmar, Isnin ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata beliau akan mengetuai delegasi selepas Kerajaan Myanmar melalui Daw Aung San Suu Kyi, bersetuju mengadakan sesi itu.

Katanya, ia akan memberi peluang kepada Menteri Luar ASEAN bertukar pandangan dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian adil, cepat dan kukuh dalam menangani masalah dihadapi di beberapa kawasan di wilayah utara Rakhine.

"Suu Kyi juga berjanji akan memaklumkan kepada Menteri Luar ASEAN perkembangan terkini situasi di wilayah utara Rakhine ketika sesi pemukiman itu.

"Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada saya untuk menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai situasi ini.

“Amat berharap dapat menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk menekankan Malaysia sentiasa mengecam keganasan berterusan di Rakhine sejak kejadian 9 Oktober 2016," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Anifah berkata, Malaysia akan terus bertegas supaya semua pihak yang terbabit dapat mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Katanya, Malaysia menyedari sepenuhnya prinsip asas ASEAN, khususnya prinsip tidak campur tangan antara negara anggota.

Tapi, katanya, Malaysia percaya negara perlu mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi prinsip antarabangsa mengenai penggalakkan dan perlindungan hak asasi manusia seperti terkandung di dalam Piagam ASEAN dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 11:28 AM