PENDERITAAN etnik Rohingya perlu dapat pembelaan dunia.
PENDERITAAN etnik Rohingya perlu dapat pembelaan dunia.
Mohd Nasif Badruddin


Kuala Lumpur: Mesyuarat Kabinet kelmarin membuat pendirian jelas dan tegas menentang segala bentuk penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ramai anak muda melahirkan reaksi sama termasuk mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Myanmar di ibu negara dan beberapa lokasi lain.

Begitupun katanya, bantahan semata-mata tidak mencukupi untuk menghalang kekejaman berlaku sebaliknya perlu ada pendekatan yang membantu.

“Secara peribadi, minggu lalu saya minta diadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Pertahanan Myanmar (Leftenan Jeneral Wai Lwin) sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bagi membincangkan nasib Rohingya ini.

“Saya mengingatkan Menteri Pertahanan Myanmar perkara ini isu sejagat dan jika tidak ditangani dengan baik ia boleh merebak ke kawasan panas yang berisiko lain seperti Selatan Thailand dan Filipina,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dalam Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 (KLIYD) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Beliau berkata, dibimbangi mangsa penindasan itu terbabit dengan kumpulan ekstremis disebabkan keadaan terdesak dan tiada pilihan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, isu Rohingya perlu ditangani mengikut saluran diplomatik dan prinsip piagam kesatuan ASEAN.

“Sebagai keluarga besar, kita terkesan dengan permasalahan tercetus di Myanmar dan Malaysia secara tuntas menawarkan bantuan menyelesaikan pergolakan di negara berkenaan.

“Penyelesaian menerusi perbincangan konstruktif dengan Myanmar berlandaskan pentas ASEAN jalan terbaik kerana kita perlu menghormati negara yang terbina secara demokrasi.

“Perlu diingatkan Myanmar kerajaan yang masih muda dan sehingga kini berdepan pelbagai cabaran, justeru ia perlukan bimbingan ahli keluarga ASEAN,” katanya.

Menurutnya, pertemuan dengan Duta Besar Myanmar di Malaysia, U Zaw Myint kelmarin menunjukkan perkembangan positif dan memberi ruang kepada Malaysia menyuarakan pandangan serta kebimbangannya.

Katanya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Daw Aung San Suu Kyi dalam tempoh terdekat bagi membantu meredakan pergolakan di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 8:57 AM