HAMPIR sejuta etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. FOTO Fail Agensi
HAMPIR sejuta etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. FOTO Fail Agensi
Agensi

COX'S Bazar/The Hague: Bagi pelarian Rohingya, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi berbohong kepada mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ketika mempertahankan negaranya dengan menafikan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Islam minoriti itu.

“Dunia akan mengadili dakwaan mereka tidak berlaku pembunuhan beramai-ramai bersama bukti.

“Pencuri tidak akan mengaku dirinya pencuri tetapi keadilan akan ditegakkan melalui bukti.

“Dunia sudah mendapatkan bukti daripada kami,” kata Pengerusi Persatuan Keamanan dan hal Asasi Arakan Rohingya, Mohammed Mohibullah, di kem pelarian Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh,

Al Jazeera melaporkan, menurutnya, Suu Kyi tidak akan terlepas walaupun tidak bercakap benar.

Suu Kyi, dalam keterangannya di depan 17 hakim berkata, ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh mulai 2017 adalah kejadian malah akibat pertempuran dengan pengganas.

Beliau menafikan tentera membunuh orang awam, merogol dan membakar perkampungan walaupun mengakui ada tindakan tentera yang mungkin melampau.

Presiden Pusat Keadilan Global di New York, Akila Radhakrishnan, dalam kenyataan berkata, gambaran Suu Kyi bahawa operasi ketenteraan di Rakhine itu tidak mempunyai niat pembunuhan beramai-ramai adalah penipuan.

“Pelbagai agensi dan pakar bebas, termasuk Rohingya sebagai mangsa mendokumenkan pembunuhan besar-besaran, pemerkosaan yang berleluasa dan pemusnahan perkampungan yang bertujuan buruk kepada orang awam,” katanya.

Suu Kyi mencabar sama ada kejadian di Rakhine itu boleh dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai kerana menurutnya, beberapa kejadian pembunuhan besar ketika perang Balkan pada 1990-an tidak dianggap pembunuhan beramai-ramai.

Menurutnya, Gambia yang membawa tuduhan terhadap Myanmar itu ‘menggambarkan keadaan tidak lengkap dan mengelirukan mengenai keadaan sebenar di Rakhine.’

Prosiding ICJ selama tiga hari berakhir semalam itu berikutan Gambia memfailkan tuduhan November lalu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan secara sistematik melalui kempen digelar ‘operasi pembersihan’ mulai Ogos 2017 yang menyamai pembunuhan beramai-ramai.

Prosiding itu tidak membicarakan asas dakwaan pembunuhan beramai-ramai tetapi Gambia memohon perintah mahkamah agar Myanmar menghentikan sebarang aktiviti yang boleh memburukkan Rohingya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:54 AM