REEZAL menjawab pertanyaan wakil media.
REEZAL menjawab pertanyaan wakil media.
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Cadangan menutup Kedutaan Malaysia di Myanmar bagi membantah penindasan terhadap etnik Rohingya hanya akan membantutkan usaha negara dalam mencari penyelesaian isu itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penutupan kedutaan itu jika dibuat akan menghalang Malaysia daripada mendapat dan mengesahkan kesahihan maklumat mengenai isu Rohingya di Myanmar.

“Sebaliknya, Malaysia perlu terus mengekalkan hubungan dua hala yang konstruktif dengan Myanmar sejajar dengan semangat solidariti ASEAN supaya satu jalan penyelesaian lebih tuntas kepada isu Rohingya dapat dicapai,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Mohamed Hanipa Maidin (PAN-Sepang) yang ingin tahu mengapa kerajaan enggan mengarahkan Kedutaan Malaysia di Myanmar ditutup dan diplomat Malaysia diarah balik bagi membantah kekejaman terhadap rakyat Rohingya.

Reezal Merican berkata, perbincangan secara konstruktif dan konsisten akan terus diadakan dengan kerajaan Myanmar di pelbagai peringkat termasuk di peringkat pegawai kanan kerajaan, Menteri Luar dan pemimpin kedua-dua kerajaan.

Menurutnya, Malaysia berpendapat kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi yang dibentuk pada November 2015 harus diberi peluang mengambil langkah proaktif seperti disarankan pertubuhan antarabangsa.

“Yang terkini kerajaan Myanmar mengumumkan pada 15 Februari lalu bahawa operasi keselamatan di utara Rakhine yang bermula sejak kejadian serangan pada 9 Oktober tahun lalu sudah dihentikan.

“Situasi keselamatan di utara Rakhine sudah stabil dan berikutan itu, perintah berkurung juga dilonggarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:41 AM