Allahyarham Datuk Sharifah Aini
Allahyarham Datuk Sharifah Aini
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selepas enam tahun, sejak Februari 2018 disiarkan berita mengaitkan rumah agam milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini didakwa akan dijual, kini kediaman itu betul-betul sudah dirobohkan sepenuhnya.

Difahamkan anak lelaki tunggal Allahyarham iaitu Aliff Omar Ali, 42, berjaya menjual kediaman mewah bertaraf banglo itu yang dikatakan mempunyai sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, lima ruang tamu perpustakaan, termasuk dewan acara.

Memetik laporan berita, Aliff berkata, walaupun sedih menjual kediaman arwah ibunya yang terletak di Peraling Jaya itu, namun dia menganggap ia adalah keputusan tepat yang dibuatnya.

"Walaupun saya sedih (jual rumah ibu), tapi saya rasa itu adalah keputusan betul yang dilakukan. Terima kasih atas perhatian dan ingatan kepada ibu saya yang sudah lama meninggal dunia," katanya.

Aliff juga menyifatkan perkara membabit rumah pusaka peninggalan arwah ibunya itu sudah selesai dan semoga semua orang dapat memahami keputusan dilakukannya.

Turut menarik perhatian juga apabila rumah berkenaan yang pernah diiklankan untuk dijual dengan harga RM8 juta pada 2018, didakwa berjaya terjual pada harga kira-kira RM4 juta.

Pada ketika ini juga, kediaman dua tingkat itu dilaporkan hanya tinggal timbunan runtuhan serta dalam proses diratakan oleh pemilik baharu yang merancang untuk membangunkan projek bangunan komersial di kawasan itu.

Terdahulu, Allahyarham Sharifah Aini yang memulakan karier seni di era 1970-an, meninggal dunia pada 5 Julai 2014 akibat komplikasi fibrosis pulmonari ketika berusia 61 tahun, tiga hari selepas ulang tahun kelahirannya, 2 Julai 1953.

Pada zaman kegemilangannya arwah Sharifah Aini turut mencipta nama sebagai pelakon dalam beberapa filem seperti Hapuslah Air Matamu pada 1976, Sumber Ilhamku dan Bintang Pujaan.

Dalam nyanyian pula, Allahyarham popular dengan lagu iaitu Perasaan Hati, Mawar Putih Untuk Mama, Terbang Helang, Hapuslah Airmatamu, Seri Dewi Malam, Seribu Mawar dan banyak lagi.

Allahyarham Sharifah Aini juga pernah menjadi 'mentor' kepada penyanyi, pelakon dan pengacara, Shiha Zikir menerusi program realiti Mentor 5 di TV3 pada 2011 dengan dinobatkan naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 7:24 PM