Ismail Sabri.
Ismail Sabri.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pendirian Malaysia untuk hanya menjemput wakil bukan politik dari Myanmar ke mesyuarat peringkat tinggi Asean kekal tidak berubah, melainkan terdapat kemajuan sebenar dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).

Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) pandangan itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang video dengan rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Sen hari ini atas permintaan negara itu.

Beliau juga menegaskan pendirian Malaysia berhubung keperluan untuk Duta Khas Pengerusi Asean mengenai Myanmar diberikan akses bertemu semua pihak yang terbabit di negara itu ke arah mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.

"Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong pelantikan Prak Sokhonn (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja) sebagai Duta Khas baharu," kata kenyataan itu.

Ismail Sabri menekankan keperluan mendesak untuk meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

Beliau juga menggesa dialog politik yang menyeluruh membabitkan semua pihak yang berkenaan demi kepentingan rakyat Myanmar dan menggesa pembebasan segera tanpa syarat semua tahanan politik, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.

Perdana Menteri berpendapat bahawa langkah-langkah yang dicadangkan untuk menangani situasi di Myanmar harus dibincangkan di peringkat Menteri Luar dan Pegawai Kanan Asean.

"Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi Asean supaya Pemukiman Menteri Luar Asean diadakan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Ismail Sabri turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dalam menyokong usaha Asean untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Sehubungan itu, beliau menekankan kesinambungan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana (Pusat AHA), dengan sokongan negara anggota Asean dan rakan kongsi luar kumpulan itu.

Myanmar bergolak sejak 1 Februari tahun lalu apabila ketua angkatan tentera Jeneral Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pilihan rakyat yang dipimpin Aung San Suu Kyi dengan lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pergolakan itu.

Bertujuan untuk membantu mencari perdamaian dan memulihkan keamanan di Myanmar, Asean sudah bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara pada 24 April tahun lalu, menyeru penamatan keganasan di Myanmar, perbincangan membina dalam kalangan semua pihak berkepentingan, kemudahan bantuan kemanusiaan, penempatan Asean utusan khas untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dan untuk utusan khas itu dibenarkan melawat negara.

Berikutan tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC oleh junta, mereka diketepikan daripada Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan pada akhir Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 6:47 PM