London: Pengurus Chelsea Antonio Conte (gambar) merasakan Diego Costa sudah mula berjaya mengawal sikap panas baran apabila penggempur itu menamatkan 10 aksi tanpa sebarang kad amaran selain menjaringkan gol kemenangan bagi membantu pasukannya mengatasi West Bromwich Albion 1-0, Ahad lalu.

Costa yang menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 12 gol, menerima empat kad kuning awal musim ini dan masih berdepan risiko digantung satu perlawanan jika dia menerima satu lagi kad amaran sepanjang empat perlawanan Chelsea selepas ini.

Tarikh akhir tempoh pemerhatian ke atasnya ialah pada 31 Disember.

“Januari sudah semakin hampir, tidak? Ia suatu yang luar biasa. Jika anda tanya mengapa dia sering dikenakan kad sebelum ini, saya tidak tahu jawapannya tetapi jika anda tanya mengenai Diego sekarang, saya boleh memberitahu anda mengenai peranan, komitmen dan sikapnya,” kata Conte.

“Tetapi saya boleh dianggap bernasib baik kerana mempunyai pemain yang bersikap baik. Diego membuktikan kesungguhannya. Saya tidak suka membuat provokasi mengenai masa lalu.”

Conte enggan mengambil serius khabar angin yang mengatakan Chelsea berdepan pemotongan mata oleh FA Inggeris kerana gagal mengawal pemain ketika mereka menyambut kemenangan ke atas Manchester City, 3 Disember lalu.

“Mengapa? Saya tidak faham. Pada hujung perlawanan menentang Manchester City, pemain saya tetap bertenang. Adalah sesuatu yang tidak wajar sekiranya kami dihukum. Anda perlu jujur dan faham pasukan mana yang patut dipersalahkan,” kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 8:10 AM