HAZARD (kanan) meraikan jaringan Chelsea.
HAZARD (kanan) meraikan jaringan Chelsea.
AFP

Southampton, England: Antonio Conte menegaskan masih terlalu awal untuk melabel Chelsea sebagai pencabar gelaran Liga Perdana Inggeris selepas pasukannya mengekalkan pencapaian cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas Southampton.

Skuad Conte mengecap kemenangan keempat liga berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh 18 bulan dan hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City berikutan aksi mantap di St Mary’s kelmarin.

Eden Hazard membuka jaringan pada minit keenam dan sepakan lencong Diego Costa pada babak kedua memastikan mata penuh memihak Blues.

Chelsea menggandakan jumlah mata yang dikutip pada peringkat sama kempen musim lalu dan aksi meyakinkan terhadap Southampton yang juga cemerlang membayangkan Conte mula membuat kehadirannya dirasai.

Pengurus Chelsea itu tidak mahu terpengaruh untuk menyatakan skuadnya berpotensi muncul juara biarpun mengakui bertambah yakin usahanya mula membuahkan hasil.

“Jika anda bertanyakan saya ramalan mengenai kejuaraan ini, ia sungguh sukar. Adalah penting untuk melepasi tahap pertama musim ini, kemudian selepas Krismas anda boleh lihat jika mampu merebut kejuaraan,” kata pengurus Itali itu.

“Jika anda tanya kepada saya adakah saya yakin? Ya, kami bekerja keras dan melihat banyak perkara positif.

“Ketika ini bukan sesuatu yang penting untuk melihat kepada kedudukan liga. Kami berada dalam kedudukan baik tapi perkara paling penting adalah bekerja lebih keras.

“Kadangkala anda boleh menang tapi anda tidak melihat ke arah yang betul, tapi sekarang perlawanan demi perlawanan, banyak perkara positif yang saya lihat. Saya mempunyai keyakinan tapi banyak yang boleh kami perbaiki.”

Tindakan Conte menukar kepada formasi tiga pemain pertahanan menghasilkan empat kemenangan tanpa bolos berturut-turut dalam liga manakala Hazard dan Costa kembali menemui sentuhan terbaik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:39 AM