Nurul Nadira Shaari


Kuantan: Dua beranak terbunuh akibat tertimbus tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Matau, dekat Kota Gelanggi, Jerantut, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Mohd Fariz Ab Rahim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tertimbus ketika melalui lokasi kejadian bersama ahli keluarga yang lain.

Katanya, bomba menerima laporan kejadian pada 9.49 pagi dan hanya berjaya memasuki kawasan perkampungan itu kira-kira 1 petang.

Menurutnya, bomba terpaksa mengambil masa lama untuk tiba di lokasi kejadian kerana kawasan perkampungan itu jauh dari laluan utama.

"Kawasan itu hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pihaknya menemui mangsa pertama, seorang wanita dewasa dalam keadaan tertimbus di lokasi kejadian.

"Mayat kedua dipercayai anak perempuannya ditemui berhampiran sungai berdekatan," katanya.

Menurutnya, operasi masih dijalankan dan pihaknya belum memperoleh identiti mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 4:54 PM