Kumpulan gajah liar yang dilihat di ladang sawit Sungai Batu, Jalan Jerantut - Jengka berdekatan Taman Warisan Gua, Kota Gelanggi. FOTO Amir Hamzah Nordin
Kumpulan gajah liar yang dilihat di ladang sawit Sungai Batu, Jalan Jerantut - Jengka berdekatan Taman Warisan Gua, Kota Gelanggi. FOTO Amir Hamzah Nordin
Amir Hamzah Nordin


PENGGUNA jalan raya dikejutkan dengan kemunculan 10 gajah liar di ladang sawit Sungai Batu berhampiran Taman Warisan Gua, Kota Gelanggi, Jerantut, hari ini.

Kelibat haiwan itu dilihat kira-kira 9 pagi dengan menyusuri denai ladang kelapa sawit menghala ke kawasan ladang di Felda Kota Gelanggi Satu dan Kota Gelanggi Tiga.

Pengguna jalan raya dari Pulau Tawar, Khairul Azuan Abu Samah, 40, berkata, dia memberhentikan keretanya untuk melihat kelibat kumpulan gajah itu yang disifatkan jarang berlaku.

"Orang ramai ada yang memberhentikan kenderaan di jambatan Sungai Batu untuk melihat kemunculan gajah ini yang bergerak dalam kumpulan yang besar.

"Kumpulan gajah ini berjalan di denai berlumpur serta mematahkan pelepah pokok kelapa sawit," katanya ketika ditemui, hari ini.

Khairul Azuan berkata, bagaimanapun kumpulan gajah itu tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap suara orang ramai dan bunyi kenderaan sebaliknya meneruskan pergerakan mereka masuk ke kawasan ladang.

Difahamkan kelibat sekumpulan gajah itu dilihat selama sejam sebelum hilang dari pandangan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 7:08 PM