APM Jerantut menggunakan bot membawa dua pesakit ke hospital. FOTO ROSELAN AB MALEK
APM Jerantut menggunakan bot membawa dua pesakit ke hospital. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

Kuantan: Jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 36,844 orang sehingga 4 petang ini berbanding 42,234 orang berikutan paras air di daerah Jerantut, Lipis, Kuantan dan Raub semakin surut.

Bagaimanapun, berlaku peningkatan mangsa di beberapa daerah lain iaitu Temerloh, Bera, Maran, Pekan dan Bentong.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, terdapat seramai 36,841 orang daripada 14,807 keluarga masih berada di 267 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, daerah Temerloh menunjukkan peningkatan iaitu 10,806 mangsa daripada 3,034 keluarga yang ditempatkan di 78 PPS berbanding 76 PPS membabitkan 10,204 mangsa, pagi tadi.

"Di Bera seramai 577 keluarga dipindahkan membabitkan 2,017 mangsa di 19 PPS; Maran mencatatkan penambahan kepada 737 mangsa daripada 195 keluarga di 18 PPS.

"Manakala di Bentong, terdapat 4,459 mangsa daripada 1,540 keluarga yang kini berada di 16 PPS," katanya.

Menurutnya, daerah yang berlaku penurunan mangsa ialah Jerantut dengan 1,744 orang daripada 433 keluarga, Lipis (1,164 mangsa daripada 36 keluarga), Kuantan (14,223 mangsa daripada 4,151 keluarga) dan Raub (375 mangsa daripada 96 keluarga).

Dalam perkembangan sama, beberapa laluan termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan paras air belum surut.

Bagi Jerantut, jalan yang masih ditutup ialah Jalan Jerantut ke Felda Kota Gelanggi, Jalan Jerantut-Lipis, Jalan Bukit Puas ke Gintong, Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok ke Jeransong, Jalan Ulu Retang ke Merting dan Jalan Sungai Yap ke Pasir Tambang.

"Di Raub pula, laluan yang ditutup ialah Jalan Sengkela ke Chenua, Jalan Bentong ke Gua Musang dan Jalan Ulu Renggol, manakala di Bentong membabitkan Jalan Karak ke Simpang Pelangai dan Jalan utama Mempaga.

"Sementara di Maran, jalan yang ditutup ialah Jalan Maran ke Jerantut, Jalan Serengkam dan Jalan utama Jengka Utara manakala di Kuantan pula ialah Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan ke Endau, Jalan Air Hitam ke Teluk Mahang, Jalan Panching Utara dan Jalan Kuala Lumpur ke Kuantan.

"Jalan Bukit Kota ke Aur Gading dan Jalan Lipis ke Jerantut di Lipis masih ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya.

Menurutnya, laluan dari Temerloh ke Kuala Lumpur, Temerloh ke Gemas, Temerloh ke Mentakab dan Jalan Loji Air Batu Sawar di Temerloh juga ditutup.

Katanya, turut ditutup adalah Jalan Bera ke Temerloh, Jalan utama Gugusan Bera dan Jalan Bohor Baharu selain Jalan Karak ke Simpang Pelanggai serta Jalan Mentega ke Terapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:44 PM