FOTO yang viral di Facebook
FOTO yang viral di Facebook
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dua lelaki yang cuba melarikan diri selepas meragut rantai seorang wanita di Jalan Yamtuan di sini, tidak berhasil apabila mereka ditahan orang ramai, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, wanita berusia 49 tahun terbabit berada di hadapan sebuah premis bersama suaminya sebelum didatangi seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki itu menarik rantai mangsa lalu melarikan diri ke arah sebuah motosikal.

"Rakannya yang sedang menunggu di motosikal terus memecut laju. Bagaimanapun, motosikal mereka terbabas dan melanggar sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

"Orang awam kemudian menahan kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu sebelum diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 12:05 PM