Tangki ubahsuai yang terdapat pada Perodua Kenari yang ditahan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, semalam untuk aktiviti penyeludupan petrol. FOTO IHSAN KPDN
Tangki ubahsuai yang terdapat pada Perodua Kenari yang ditahan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, semalam untuk aktiviti penyeludupan petrol. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pasangan suami isteri dipercayai penyeludup ditahan bersama kereta dengan muatan petrol.

Mereka ditahan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu pada 11 pagi semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, terdahulu pihaknya mengekori kenderaan jenis Perodua Kenari yang dinaiki suami isteri berusia 31 dan 33 tahun itu yang membuat pengisian petrol di sebuah stesen minyak di Pasir Pekan.

"Pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan itu sebelum ia diparkir di hadapan sebuah rumah di Kampung Dusun Langgar.

"Terdapat seorang lelaki dan wanita dalam kereta itu yang mempunyai pertalian suami isteri dan pemeriksaan lanjut menemui 75 liter petrol dalam tangki minyak yang diubah suai.

"Siasatan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau surat kuasa berkait pemilikan minyak petrol yang dibawa bersama," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, pihaknya percaya petrol itu akan dibawa ke pangkalan haram atau tebing sungai di Pengkalan Kubor untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, petrol terbabit dirampas, manakala suami isteri itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bagi membanteras kegiatan haram ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:54 PM