MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri yang juga individu tunggal di negara ini menjawat jawatan itu sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini genap berusia 99 tahun.

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925, namun tarikh kelahiran rasmi beliau direkodkan pada 20 Disember 1925 bertempat di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik kepada pasangan suami isteri, Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi.

Dr Mahathir memegang rekod tempoh paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Ketika dipilih semula buat kali kedua pada Mei 2018 sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau turut memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling tua di dunia.

Tarikh lahir isteri Dr Mahathir yang sangat setia di sampingnya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pula adalah 12 Julai 1926, jatuh dua hari lagi dengan usia mencecah 98 tahun.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah yang melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos 1956 mempunyai tujuh cahaya mata.

Semua tujuh anaknya diberi nama yang bermula dari huruf 'M' iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Berkongsi petuanya sebelum ini di media, Dr Mahathir pernah memberitahu bagi memastikan tahap kesihatan diri sentiasa berada pada paras maksimum dengan bersederhana dalam pengambilan makanan serta melakukan senaman.

Pada ulang tahun kelahirannya ke-99, Dr Mahathir masih sibuk memenuhi undangan dan bertemu dengan pelbagai pihak di seluruh dunia.

Semalam, pengendali akaun Facebook Dr Mahathir berkongsi mengenai lawatan bekas Perdana Menteri itu ke United Kingdom (UK) dan dijadualkan menghadiri dua acara berasingan.

Ketika berada di London, Dr Mahathir dijemput mengadakan pertemuan bersama kumpulan pemimpin komuniti Muslim dan pengusaha perniagaan milik Muslim di UK.

Pelbagai isu dibincangkan termasuk perpecahan sesama ummah, peperangan di Gaza dan isu politik serantau.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sungguhpun umat Islam di UK agak ramai, tetapi masih berpecah dan tidak bersatu.

"Umpamanya terlalu ramai yang mahu jadi pemimpin menyebabkan perpecahan dan kumpulan yang besar menjadi kecil dan lemah. Tanpa kesatuan, sesuatu tindakan juga tidak akan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:31 PM