ANTARA pembida yang hadir  pada Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2024 di Kompleks JPJ Pahang, Kuantan. FOTO  Asrol Awang
ANTARA pembida yang hadir pada Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2024 di Kompleks JPJ Pahang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mencatat kutipan RM242,970 hasil lelongan awam kenderaan sita siri 1/2024 di Dewan Sri Makmur, Kompleks JPJ Pahang, di sini hari ini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, jumlah kutipan itu hasil lelongan 76 daripada 84 kenderaan, termasuk motosikal, kereta, van dan lori.

Katanya, bidaan tertinggi ialah sebuah kereta Honda Integra tahun 2005 berjumlah RM32,000 berbanding harga permulaan RM12,600.

"Sementara, bidaan terendah ialah RM70 dua motosikal, masing-masing Modenas Kriss Kristar dan SYM BX110 iaitu kenderaan tidak boleh didaftarkan (scrap).

"Sebanyak 84 kenderaan yang dilelong hari ini, termasuk 21 kenderaan kenderaan scrap yang tidak boleh dilesenkan," katanya.

Beliau berkata, seramai 74 pembida hadir pada lelongan kali ini membabitkan 76 kenderaan dengan kutipan hasil RM242,970.

"Pada lelongan Siri 2/2024, 24 Oktober lalu, sejumlah RM183,140 hasil dikutip membabitkan 51 kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:36 PM