SAIFUDDIN semasa sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang. FOTO Ghazali Kori
SAIFUDDIN semasa sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar

Marang: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan mengeluarkan arahan penutupan balai polis selepas 10 malam.

Sebaliknya, katanya, arahan penutupan hanya membabitkan pintu pagar dan bukannya balai polis.

"Kita ada sebanyak 810 balai polis dan 127 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara.

"Penutupan pintu pagar balai polis hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi," katanya kepada media di majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Seri Kapas, IPD Marang di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama pada sidang media itu adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, walaupun pintu pagar balai polis itu ditutup tetapi orang awam boleh hadir untuk membuat aduan.

Katanya, anggota yang bertugas di pintu masuk dibenarkan untuk membuka pintu pagar bagi membolehkan orang awam untuk membuat aduan.

"Arahan penutupan balai polis bukannya isu baru, sebaliknya sudah ada arahan tetap Ketua Polis Negara.

"Kita tidak pernah menyebut penutupan balai polis, sebaliknya hanya sebut penutupan pintu pagar balai polis bertujuan memperketatkan keselamatan di premis berkenaan susulan insiden yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, Anwar meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk baik pulih kerosakan 20 daripada 166 kuarters di IPD Marang.

"Kita dapati 20 kuarters untuk menempatkan ahli keluarga pegawai dan anggota polis tidak dapat didiami disebabkan mengalami kerosakan pada bumbung dan siling serta lantai.

"Kita minta kerja-kerja baik pulih 20 kuarters yang dibina pada 2003 dan mula didiami pada 2006 dibaiki segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:37 PM