Raja Noraina Raja Rahim

SEORANG lelaki yang melarikan diri daripada ditahan polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Taman Rantau, Seremban, tengah malam semalam.

Lelaki berusia 22 tahun yang sebelum itu dikatakan berkumpul bersama sekumpulan mat rempit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kehadiran sekumpulan motosikal di Taman Bandar Ekar, Rantau, kira-kira 12 tengah malam.

Menurutnya, anggota dari Balai Polis Rantau kemudian ke lokasi berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan dan menemui sekumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka yang menyedari kehadiran polis bertindak melarikan diri. Anggota polis yang menunggang motosikal kemudian mengejar kumpulan berkenaan.

"Apabila tiba di Jalan Taman Rantau berhampiran Dewan Orang Ramai Rantau, anggota menemui seorang penunggang terbaring atas jalan dipercayai terbabas lalu segera berhenti untuk memberi bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Thiew berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 5:02 PM