PEGAWAI APMM menunjukkan daging spesis terancam dipercayai penyu dan balat yang dirampas selepas disyaki cuba diseludup keluar melalui perairan Kudat. FOTO Ihsan APMM
PEGAWAI APMM menunjukkan daging spesis terancam dipercayai penyu dan balat yang dirampas selepas disyaki cuba diseludup keluar melalui perairan Kudat. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar daging spesies terancam dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.

Rampasan itu hasil maklumat risikan selepas sebuah bot dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan di sini, pada 5 petang.

Pengarah Zon APMM Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak dengan maklumat risikan, aset APMM yang sedang menjalankan Op Sejahtera, Op Naga Timur, Op Perkasa Putih dan Op Tiris 3.0 digerakkan bagi mengesan bot berkenaan.

"Ketika dihampiri, bot berkenaan bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa APMM.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang dicampak oleh suspek dari bot berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 itu diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan dilindungi," katanya.

Sementara itu, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim Kudat berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.

Menurutnya, hasil operasi berkenaan berjaya menahan dua individu yang mengendalikan bot yang juga warga tempatan berusia lingkungan 17 dan 27 tahun.

"Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan," katanya.

Beliau juga meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan selain membantu APMM melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:43 PM