Steven Sim pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Steven Sim pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mempertimbangkan syor membuat laporan polis berkait isu Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata demikian ketika ditanya Hassan Abdul Karim (BN-Pasir Gudang) sama ada Kesuma akan membuat laporan polis kerana ada unsur jenayah pecah amanah.

"Kita mengambil input itu sebagai satu cadangan untuk pertimbangan, tetapi setakat ini kita sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) iaitu badan pencegah rasuah paling tinggi di negara kita," katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hamid Shaik Dawood dilihat berada di dalam Dewan Rakyat dan mendengar penggulungan itu.

Sim dalam penggulungannya, menyangkal dakwaan bahawa 3,726 peserta mengikuti latihan lebih daripada sekali bagi Skim Insan Gerak Gemilang untuk tempoh 12 bulan antara Jun 2020 hingga Mei 2021

Katanya, program itu sebenarnya membabitkan 85,000 peserta.

"Jadi 3,726 adalah kalangan antara 85,000 peserta yang mengikut pelbagai latihan membabitkan 850 syarikat penyedia latihan.

"Ada yang kata kononnya RM51.69 juta dibelanjakan kepada satu syarikat yang mempunyai 3,726 berulang. Sebenarnya RM51.69 juta membabitkan 315 syarikat penyedia latihan, keduanya 84 peratus daripada 3,726 peserta iaitu 3,132 mengikuti kursus berulang sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh setahun," katanya.

Tambahnya, Kesuma memandang serius teguran LKAN dan mengambil langkah dalam tempoh 24 jam dengan membuat laporan kepada SPRM dan membuat audit bebas oleh pihak ketiga ke atas HRD Corp.

"Seperti yang saya katakan, bukan hasrat saya untuk menuding jari atau melindungi siapa-siapa, jauh lagi mereka yang bersalah.

"Sekiranya siasatan menjurus kepada mana-mana individu bersalah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, tidak kiralah berpangkat menteri, timbalan menteri atau pengurusan tertinggi, atau sesiapa pun.

"Ini iltizam dan komitmen kita dan ia sudah dibuktikan dengan melaksanakan langkah-langkah secara telus dan menjawab kepada pihak awam. Tetapi jangan pula kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya.

Tambahnya, Seksyen 26 dan 27 Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 memberi kuasa kepada HRD Corp melaburkan kumpulan wang pembangunan sumber manusia atau mana-mana wang dikehendaki serta merta.

Katanya, 84 peratus adalah pelaburan yang berisiko rendah iaitu tunai, deposit, bon sukuk dan amanah. Selebihnya adalah pelaburan dalam ekuiti.

"Keuntungan daripada pelaburan adalah RM82 juta (2020), RM71 juta (2021), RM90 juta (2022),RM176 juta (2023) dan sasaran tahun ini adalah RM180 juta.

"Setakat 30 Jun sudah mencecah RM91 juta. Keuntungan sebelum cukai untuk HRD Corp secara keseluruhannya adalah RM25.8 juta pada 2020, RM12.1 juta (2021), RM29.8 juta (2022) dan RM 97.5 (2023)," katanya.

Sim berkata, beliau boleh mengambil cara mudah dengan memeluk tubuh, mencuci tangan dan menuding jari kepada bekas menteri dan pengurusan terdahulu, memandangkan teguran dalam laporan itu berkisar tentang operasi HRD Crop.

Namun katanya, Parlimen bukan forum berpolitik, rakyat berhak tahu fakta dan kebenaran di sebalik pengurusan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:21 PM