AMIRUDIN (tengah) diiringi EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari (lima dari kanan) bersama penerima biasiswa pada Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor hari ini. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN (tengah) diiringi EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari (lima dari kanan) bersama penerima biasiswa pada Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor hari ini. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM600,000 menerusi Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi membiayai pengajian 33 wanita di peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan biasiswa Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPHS) disalur sejak 2021 membabitkan pembelajaran pelbagai bidang antaranya perniagaan dan sains politik.

"Pelaksanaan kohort pertama dan kedua merangkumi belanja sebanyak RM400,000 untuk 24 penuntut manakala kali ini membabitkan sembilan penuntut dengan kos RM200,000.

"Untuk kohort ketiga ini, kita terima 122 permohonan namun hanya 21 yang disenarai pendek sebelum memutuskan sembilan layak menerima bantuan," katanya selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) di sini, hari ini.

Beliau berkata tajaan menerusi Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) akan diteruskan pada masa depan memandangkan ia membantu penerima untuk mendapat kemahiran sekali gus membantu peningkatan pendapatan.

"Biasiswa ini menumpukan pengajian yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi penjagaan seperti sains kesihatan, pemulihan cara kerja dan pendidikan bimbingan dan kaunseling," katanya.

Selain bantuan PPHS, kerajaan negeri menerusi AKW turut menyediakan program pemantapan kemahiran wanita berusia 21 hingga 45 tahun dan bertindak sebagai 'saluran bakat' ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta kerja sosial.

Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:53 PM