Hussein berucap pada Program Forum Anak Syurga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. FOTO BERNAMA
Hussein berucap pada Program Forum Anak Syurga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) akan digunakan sekiranya sumber wang tunai RM500,000 dalam bagasi yang ditemui di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara, Mac lalu, tidak dapat dikesan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan polis sedang menunggu keputusan serta pandangan pihak pendakwa raya.

"Setakat ini, polis belum mendapat maklum balas lagi (dari pihak pendakwa raya).

"(Jika tidak dapat kesan sumber) kita akan siasat di bawah AMLA, di bawah kesalahan menggubal wang haram di bawah AMLA, ada prosedurnya," katanya dalam sidang media selepas Program Anak Syurga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Beliau turut mengulas ketika ditanya sama ada wang terbabit boleh dilucuthakkan atau sebaliknya jika siasatan dijalankan di bawah AMLA.

"Ya (boleh dilucuthakkan)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bagasi berwarna merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira jam 8 pagi, 20 Mac lalu, di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Susulan penemuan beg itu, polis meminta pemilik beg berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya bersama bukti berkaitan bagi mengesahkan hak milik wang terbabit.

Pada Mei lalu, kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk ke Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:15 PM