SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf dan mengakui terdapat kesilapan mengenai kedudukan ketiga pada acara 113 Triathlon Desaru 2024 yang berlangsung pada 6 dan 7 Julai lalu.

Syed Saddiq menerusi aplikasi X menjelaskan bahawa selepas merujuk kepada data jam pintar iWatch miliknya, terdapat catatan yang tidak jelas.

"Saya memohon maaf kepada komuniti Trithlon. Ya, saya seorang pendatang baru dan saya berharap dapat memperbaiki diri.

"Saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan bekerjasama rapat dengan komuniti untuk menjadi lebih baik kerana ini adalah sukan yang saya benar-benar cintai," katanya.

Menerusi penjelasan sama, Syed Saddiq turut memuat naik kemas kini terbaru dengan data yang lebih terperinci selepas perlumbaan yang diperolehi daripada pasukan teknikal.

Sebagai contoh, iWatch mencatatkan beliau hanya berenang sejauh 100 meter (m), sedangkan perlumbaan sebenarnya adalah 2.25 kilometer (km).

Semasa sesi berbasikal, beliau menyedari sesuatu yang tidak kena mengenai catatan masanya.

Beliau segera memberitahu pasukan teknikal 1 yang terdiri daripada dua pegawai.

Namun, pasukan teknikal memberitahu bahawa tiada apa masalah yang ditemui dan beliau meneruskan perlumbaan seperti biasa.

Data terbaru menunjukkan bahawa Syed Saddiq melengkapkan tiga pusingan dan melalui semua 'checkpoint', tetapi satu pusingan pada awalnya adalah untuk perlumbaan Olympic loop, bukan 113.

Ini menjelaskan mengapa ia kelihatan seperti beliau hanya melengkapkan dua pusingan (60km) tetapi sebenarnya tiga pusingan (72km).

Beliau juga menyatakan bahawa selepas berbincang dengan penganjur dan wakil teknikal, adalah baik status beliau diubah kepada DNF (Did Not Finish).

"Walaupun menyemak semula masalah semasa perlumbaan dan memaklumkan kepada pasukan teknikal, namun sebagai peserta saya sepatutnya lebih bertanggungjawab.

"Selepas bercakap dengan penganjur dan wakil teknikal, lebih baik status saya adalah DNF. Mereka juga mengakui bahawa ini adalah kesilapan yang jujur," katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq menafikan menipu dalam acara itu selepas akaun media sosial yang tidak dikenali mendakwa dia tidak menghabiskan tiga pusingan berbasikal sebaliknya hanya menamatkan dua pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:14 PM