LALUAN di Jalan Kancil 11 Taman Scientex menjadi sempit berikutan masalah tebing runtuh. FOTO Arkib NSTP
LALUAN di Jalan Kancil 11 Taman Scientex menjadi sempit berikutan masalah tebing runtuh. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Kerajaan negeri akan memastikan projek mengatasi masalah tanah runtuh di Jalan Kancil 11, Taman Scientex di sini siap dalam tempoh terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib berkata, pihaknya menjangka projek itu siap pada pertengahan bulan hadapan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, bagaimanapun kelancaran projek itu bergantung kepada keadaan cuaca.

"Sekiranya cuaca tidak baik mungkin berlaku kelewatan sedikit projek mengatasi masalah tanah runtuh berkenaan.

"Malah pihak berkaitan juga akan memantau keadaan di lokasi bagi mengikuti perkembangan projek mengatasi masalah tanah runtuh itu.

"Projek berkenaan adalah penyelesaian masalah tanah runtuh di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, akhbar ini mendedahkan kebimbangan kira-kira 500 penduduk di Jalan Kancil 11, Taman Scientex apabila berdepan risiko berikutan masalah tebing runtuh berhampiran kediaman mereka.

Penduduk mendakwa isu berkenaan berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu dan semua kerja-kerja pencegahan tanah runtuh dilakukan adalah secara sambil lewa.

Ia menjadikan masalah tebing runtuh semakin serius termasuk menghampiri kediaman penduduk.

Penduduk juga mempersoal usaha bagi membina longkang berulang kali bagi mencegah tanah runtuh namun pembinaan itu runtuh.

Penduduk menggesa pihak kontraktor menggunakan kaedah berbeza bagi mengatasi masalah tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:16 PM