LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Petaling Jaya di sini, Ahad lalu gagal dihubungi polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, Pegawai Penyiasat sudah menghubungi pelakon berkenaan termasuk menerusi aplikasi WhatsApp namun tidak berjawab dan dibalas.

"Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada beliau untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah dan beliau sedang dikesan untuk penyampaian panggilan berkenaan.

"Polis sudah mendapat arahan untuk menyiasat (OTI). Setakat ini, polis sudah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis juga sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap, "katanya.

Sebelum ini, Shahrulnizam memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan perintah dari Timbalan Pendakwa Raya untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada jam 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:11 PM