HUSSEIN berucap pada Program Forum Anak Syurga di IPK Selangor. FOTO BERNAMA
HUSSEIN berucap pada Program Forum Anak Syurga di IPK Selangor. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Polis Selangor sudah menerima Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan seorang pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya di Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara berkenaan ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung kes terbabit.

"Ya (sudah dapat OTI)," katanya ringkas dalam sidang media selepas Program Anak Syurga di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, polis sudah menyerahkan permohonan OTI kepada TPR bagi merakam percakapan pelakon lelaki terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, Ahad lalu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya susulan perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan dipandu teman lelakinya sebelum dimarahi dan lelaki itu terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Sementara itu, Hussein berkata, polis sedang mengesan pemilik akaun palsu TikTok yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Katanya, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu terbabit.

"Kita sudah meminta SKMM untuk menurunkan beberapa pautan berkaitan dan SKMM sudah menurunkan dan siasatan akan diteruskan bagi mengesan mereka yang terbabit dalam mewujudkan akaun palsu ini. Satu proses yang akan ambil masa juga.

"SKMM sudah bantu kita menurunkan dalam lima atau enam pautan berkaitan," katanya.

Semalam, media melaporkan polis menerima laporan berhubung akaun TikTok yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor.

Laporan itu dibuat Istana Selangor selepas mendapati akaun TikTok itu bukan milik Raja Muda Selangor dan disahkan palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:25 PM