Pelakon, Sean Lee bersama isteri, Bay Doucet.
Pelakon, Sean Lee bersama isteri, Bay Doucet.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Kami jalani perhubungan secara privasi tapi tidak merahsiakan daripada kawan terdekat dan keluarga," kata pelakon dan pengacara, Sean Lee yang membuat kejutan apabila mengumumkan sudah bergelar suami dengan wanita pilihannya iaitu model, Bay Doucet, 26, pada 7 Julai lalu.

Sean berkata, dia lebih selesa merahsiakan hubungan mereka tanpa pengetahuan orang ramai memandangkan masing-masing menjadi perhatian umum.

"Kami saling menghormati privasi, terutama apabila banyak kerja kami disiarkan secara terbuka dan dikongsi kepada semua orang. Jadi, kami rasa lebih baik untuk menyimpan beberapa perkara untuk diri kita sendiri saja.

"Sebenarnya kami sudah saling mengikuti media sosial untuk beberapa tahun tapi kami tidak memulakan sebarang komunikasi sehinggalah satu hari saya memberanikan diri menghantar mesej peribadi kepadanya dan selebihnya adalah sejarah.

"Dia berbakat, kreatif dan celik perniagaan. Dia mempunyai personaliti yang hebat dan memiliki segala-galanya yang saya inginkan.

"Kami berdua mempunyai pemikiran dan pandangan yang sama terhadap topik bercinta dan berkahwin. Jadi, sebelum melangkah ke fasa seterusnya kami berkenalan terlebih dulu dan kemudian baru fikir ke arah perkahwinan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sean, dia juga sebenarnya sudah melangsungkan pertunangan secara rahsia pada 17 September tahun lalu sebelum mengadakan majlis perkahwinan pada 7 Julai lalu.

"Majlis perkahwinan kami diadakan secara tertutup dengan 200 tetamu di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Keutamaan kami adalah untuk pastikan tetamu kami bergembira dengan 'santai' pada malam meraikan cinta kami.

"Memandangkan ini adalah kali pertama kami menunjukkan hubungan kami secara terbuka, kami mahu ia mencerminkan diri kami. Isteri saya mempunyai cita rasa yang unik, jadi saya mempercayai visinya dalam menyusun perkahwinan mengikut seleranya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 4:39 PM