SEKUMPULAN keluarga Syria yang meninggalkan kediaman mereka di timur Aleppo untuk ke tempat lebih selamat selepas tentera kerajaan mara di kebanyakan daerah berkenaan dalam usaha untuk menawannya semula.  - AFP

SEORANG remaja duduk di hadapan mayat mangsa serangan meriam tentera Syria di daerah Jub al-Qura di timur Aleppo, semalam.  - AP
SEORANG remaja duduk di hadapan mayat mangsa serangan meriam tentera Syria di daerah Jub al-Qura di timur Aleppo, semalam. - AP
Agensi

Beirut: Seramai 21 orang awam, termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam pengeboman tentera kerajaan Syria di daerah timur Aleppo awal semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia berkata, puluhan penduduk lagi cedera dalam serangan meriam itu yang menyasarkan Jubb al-Qubbeh, daerah yang dikuasai kumpulan penentang.

Ketua kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman menyifatkan serangan itu sebagai amat sengit dan ramai penduduk terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Menurut White Helmets, kumpulan sukarelawan di wilayah yang dikuasai penentang, serangan meriam itu terkena sekumpulan penduduk dari daerah lain yang datang untuk mencari perlindungan di situ.

Agensi berita Syria yang dikuasai kerajaan pula mendakwa, mangsa terbunuh akibat serangan roket kumpulan penentang.

Sementara itu, lebih 50,000 penduduk meninggalkan timur Aleppo dalam masa empat hari ketika tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad mara ke kawasan yang dikuasai penentang.

Menurut laporan, lebih 20,000 melarikan diri ke kawasan yang dikuasai rejim itu sementara 30,000 lagi ke daerah yang dikuasai militan Kurdis.

Tentera Syria menawan sekurang-kurangnya sepertiga timur Aleppo selepas melancarkan usaha menawannya semula sejak dua minggu lalu dengan bantuan tentera Russia.

Wilayah itu yang sebelum ini menjadi kubu kuat penentang, dikepung tentera Bashar sejak empat bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 7:07 AM