PENDUDUK timur Aleppo berjalan meninggalkan kediaman mereka untuk ke tempat lebih selamat. - AFP
PENDUDUK timur Aleppo berjalan meninggalkan kediaman mereka untuk ke tempat lebih selamat. - AFP
AFP

Aleppo (Syria): Pertempuran sengit berlaku di sebuah kawasan utama di Aleppo dengan pejuang penentang dibedil teruk dalam serangan oleh tentera rejim.

Serangan tentera kerajaan di utara bandar itu mengakibatkan puluhan ribu penduduknya di kawasan yang dipegang penentang di timurnya seterusnya menyebabkan Russia menggesa supaya laluan dibuka bagi menghantar bantuan.

Tentera Presiden Bashar al-Assad menawan kawasan timur laut bandar itu minggu ini dan kini menyasarkan menawan kawasan Sheikh Saeed di tenggara Aleppo.

Namun mereka ditentang hebat pejuang penentang, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

“Rejim dan sekutunya mahu menawan kawasan itu kerana akan membolehkan mereka menyasarkan semua daerah dipegang penentang.

“Tetapi kerana itu juga penentang mempertahankan kedudukan mereka habis-habisan kerana memang mudarat jika Sheikh Saeed jatuh ke tangan kerajaan,” katanya.

Katanya, ratusan askar tiba di Aleppo semalam sebagai persediaan untuk pertempuran darat.

Lebih 300 orang awam termasuk puluhan kanak-kanak terbunuh di timur Aleppo sejak kerajaan memulakan serangannya pada 15 November lalu, katanya.

Sebaliknya, serangan balas penentang di kawasan barat bandar itu menyebabkan 55 orang awam terbunuh.

Semalam, agensi berita rasmi SANA melaporkan seorang awam terbunuh dan tiga cedera dalam serangan roket penentang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:13 AM