SEKUMPULAN tentera Syria berdiri di sebelah beberapa penduduk Sheikh Saeed, daerah terbesar di timur Aleppo selepas mereka menawannya daripada kumpulan penentang. - AFP
SEKUMPULAN tentera Syria berdiri di sebelah beberapa penduduk Sheikh Saeed, daerah terbesar di timur Aleppo selepas mereka menawannya daripada kumpulan penentang. - AFP
AFP

Aleppo: Tentera Syria semalam menawan sebuah daerah besar di sini daripada kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad yang kini terkepung di kawasan kecil di bekas kubu kuat mereka di timur bandar raya ini.

Perkembangan itu membolehkan tentera Syria menguasai lebih 90 peratus kawasan yang sebelum ini pernah dikuasai kumpulan penentang.

Mereka dijangka menawan keseluruhan bandar itu bila-bila masa, sekali gus membolehkan kerajaan menguasai lima bandar terbesar negara itu.

Kejatuhan Aleppo akan memberi tamparan paling buruk kepada penentang sejak perang saudara Syria meletus pada 2011.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria melaporkan, tentera Syria menawan daerah besar Sheikh Saeed di tenggara Aleppo awal pagi semalam.

“Kumpulan penentang kini hanya menguasai dua kawasan kejiranan. Ia begitu kecil dan akan jatuh bila-bila masa.

“Fasa terakhir perang merebut Aleppo kini masuki fasa terakhir,” kata pengarah kumpulan hak asasi itu, Rami Abdel Rahman.

Media rasmi Syria mengesahkan tentera menawan Sheikh Saeed berikutan serangan udara dan darat secara besar-besaran.

Seorang koresponden AFP di kawasan yang dikuasai kerajaan di barat Aleppo berkata, pengeboman boleh didengari dari kawasan itu dan ia paling sengit sejak beberapa hari lalu.

Kumpulan pemerhati itu juga berkata, kira-kira 10,000 penduduk meninggalkan timur Aleppo sepanjang 24 jam lalu, menjadikan jumlah pelarian yang menuju ke kawasan yang dikuasai kerajaan meningkat kepada 130,000.

Kumpulan penentang Bashar menawan timur Aleppo pada 2012, setahun selepas tunjuk perasaan antikerajaan yang kemudian merebak menjadi perang saudara.

Serangan yang dilakukan untuk menawan timur Aleppo dengan bantuan militan Syiah dan tentera Syria sejak empat minggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 415 orang terbunuh, termasuk 47 kanak-kanak.

Ratusan lagi cedera akibat serangan udara dan bedilan meriam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:01 AM