Hanez (kiri) dan rakannya diperlekeh pengguna Internet kononnya mereka menggunakan pengikat langsir sebagai anting-anting.
Hanez (kiri) dan rakannya diperlekeh pengguna Internet kononnya mereka menggunakan pengikat langsir sebagai anting-anting.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Hanez Suraya tidak berkecil hati dengan tindakan netizen atau pengguna laman sosial yang memperlekehkan imej bertudungnya.

Hanez, 31, berkata, dia hanya tergelak apabila kali pertama melihat perkara itu yang dikongsikan di laman sosial.

"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh kawan baik saya iaitu Farina. Apabila membaca paparan skrin yang dihantar, saya terus tergelak. Saya pun tak tahu nak cakap apa.

"Cuma satu perkara yang jelas di sini adalah mereka masih memerhatikan gaya hidup saya biarpun sudah dua tahun tidak berlakon. Saya menganggap ia perkara remeh, jadi tak perlu nak melatah atau marah," katanya kepada Harian Metro.

Hanez yang juga pelakon drama Love You Mr Arrogant juga malas mahu mengambil pusing perkara yang tidak mendatangkan kebaikan untuk dirinya.

Hanez berkata, adalah lebih baik dia memberi fokus kepada kehidupan dan perkara yang lebih berfaedah.

"Saya pelik kenapa gaya itu diberi perhatian sehingga dibangkitkan di laman sosial, sedangkan artis lain pun ada bergaya sama. Saya hanya berfikiran positif kerana banyak lagi masalah lain yang perlu difikirkan.

"Kalau nak melayan kerenah mereka satu persatu di laman sosial, boleh jadi gila dibuatnya. Jadi biarkan saja mereka dengan dunia mereka," katanya.

Terdahulu gambar Hanez bersama rakannya yang mengenakan gaya anting-anting di luar tudung menarik perhatian netizen.

Gaya itu dibandingkan dengan aksesori tali langsir sebelum dikongsikan di laman sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 4:11 PM