Mohd Fauzi Abdullah


Kuantan: “Saya tidak ada masalah untuk kembali,” kata Tan Sri Annuar Musa (gambar kecil) berhubung kemelut peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Mengakui masih sayangkan pasukan bola sepak Kelantan dan mahu melihat Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bangkit dalam saingan Liga Malaysia musim depan Annuar berkata, keputusan meletakkan jawatan itu bukan dibuat kerana beliau sudah merajuk sebaliknya mahu memberi laluan kepada orang lain difikirkan lebih layak.

Katanya, beliau sudah lama menerajui KAFA iaitu kira-kira 10 tahun dan sudah tiba masanya melepaskan jawatan itu justeru memberi peluang kepada orang lain menguruskan KAFA.

“Ramai anak Kelantan yang berjaya di luar sana, bagilah mereka peluang untuk menerajui KAFA.

“Ini bukan bermakna saya merajuk dengan sesiapa atau saya tidak akan bantu pasukan Kelantan selepas ini.

“Kita tengok dulu apabila orang lain ambil alih (KAFA), kalau tidak ada keserasian, saya tidak ada masalah untuk kembali,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerangan Isu Semasa Bersama Akar Umbi UMNO Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, semalam.

Annuar yang digelar Bapa Pembangunan Bolasepak Kelantan bertegas mahu melepaskan jawatan untuk memberi peluang kepada individu lain yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan gergasi Pantai Timur itu.

Bagaimanapun, Exco tertinggi KAFA sebulat suara menolak peletakan jawatan Annuar dan mahu beliau terus kekal menerajui persatuan itu hingga tamat penggal pada 2018.

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau tidak perlu mengemukakan hasratnya itu kepada Jawatankuasa Pengurusan KAFA kerana jawatan presiden bukan dilantik oleh jawatankuasa itu.

“Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu, saya ke na tengok balik bagaimana peletakan jawatan ini perlu dilakukan.

“Cuma, saya rasa saya tidak perlu mengemukakan hasrat (letak jawatan) kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan (KAFA) sebaliknya cuma perlu memaklumkan kepada Setiausaha KAFA saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 9:06 AM